Isnin, 15 Oktober 2012

APA YANG PERNAH AKU TULIS


         Salam dan Sejahtera kepada semua yang membaca.Jam sudah masuk pukul 11 50 malam.Mata pula masih belum mahu tidur.Hidung masih 'error' akibat demam yang belum pulih sepenuhnya.Dari petang tadi hingus melempah bagaikan air paip,tapi sekarang sudah okay setelah aku telan panadol Soluble dan sebiji pil selsema.Apa boleh buat? ada ubat,aku telan saja janji kebocoran saluran paip hingus aku dapat dihentikan buat seketika,untuk malam ini saja pun sudah okay.Tilam dah dihampar,laptop dahpun terbuka dari tadi.Bersiap-sedia untuk 'berehat' sambil melihat dan membaca update-update status dari facebook.Sambil berfacebook,aku teringat yang aku pernah menulis beberapa sajak yang aku tulis tahun lepas,aku letakkan di ruangan 'notes' di dalam facebook aku sendiri.Aku fikir inilah bahan yang nak ku letakkan dalam ruangan blog aku kali ini sebagai bahan update untuk dikongsi.Ini antara hasil tulisan cubaan aku yang awal-awal. Apa yang aku tulis ini berdasarkan apa yang aku alami tahun lepas,tahun 2011.
                 Tahun lepas,aku kira rajin juga berjalan ke bandaraya Kuala Lumpur(sebenarnya bila ada duit atau ada acara saja baru keluar).Berdasarkan apa yang telah aku tulis tu,aku akui memang agak berbau politik sedikit kerana tahun lepas aku banyak luangkan masa mengalami politik Malaysia.Aku tak mahu kata mengkaji,nanti nampak pro sangat.Sebelum ini aku lah orang yang paling malas nak ambil tahu pasal politik.Namun oleh kerana semangat kebangsaan meningkat secara tiba-tiba sebaik pasukan bolasepak Malaysia atau sinonimnya 'Harimau Malaya' berjaya mempertahankan pingat emas Sukan SEA buat kali kedua tahun sudah di Gelora Bung Karno..Akupun secara tak langsung meningkatlah semangat nasionalisme dan terbawa-bawa pula ke dalam perihal politik.Aku pun mula 'ter'baca lah sedikit perihal-perihal politik negara untuk aku lebih memahami.Begitu besar pengaruh bolasepak terhadap semangat nasionalisme.
         Mula-mula aku agak ke arah pembangkang saja,sejak dari zaman sekolah.Aku berkesempatan untuk duduk mendengar cerita dari penyokong-penyokong pembangkang ketika sesi lepak-lepak mengeteh di kedai mamak atau mungkin juga kerana sifat naturalku yang degil dan suka membangkang ni.Tapi setelah berfikir secara rasional,aku memujuk diriku untuk bersifat adil kepada diriku sendiri agar tidak terlalu fanatik pada pembangkang saja.Aku membuat pilihan untuk mengkaji kedua-dua belah pihak yang  sedang ber'perang' politik ini agar aku dapat cari apakah persamaan dan perbezaan antara mereka ini.Yang akhirnya kudapati 2 x 5 saja.Aku juga berjanji kepada diriku sendiri agar tidak terlalu cepat percaya pada provokasi-provokasi atau bom fitnah yang dilemparkan kedua-dua pihak ini.Sebagusnya,aku akan kumpulkan setiap bom fitnah yang mereka lemparkan itu untuk aku kaji selidik,fikir baik dan buruknya.Apa relevannya? Siapakah yang lebih relevan?.Aku berjanji tidak akan membiarkan salah satu pihak ini mengawal minda ku melalui ideologi-ideoogi mereka yang sampah jahanam! Walau dalam malas,aku berjanji akan cuba rajinkan diri membaca buku-buku yang perlu aku baca ketika itu.Segala maklumat yang perlu aku perlu tahu mestilah satu berita yang sahih dari sumber yang benar.Aku juga ingin berterima kasih kepada beberapa orang teman di facebook ku yang menyedarkan aku agar lebih berfikiran terbuka,rajin mendengar dan belajar.Rajin berdiskusi secara terbuka.Aku juga belajar untuk mengawal emosi agar tidak terlalu cepat melatah dan marah kerana perang politik sememangnya perang psikologi.Aku perlu tenangkan diri dan tetapkan tekad kerana aku tidak mahu ditipu lagi oleh ayat manis kedua-dua belah pihak.Aku mahu di tengah-tengah.Aku pilih atas pagar.Sebagai rakyat,aku punya hak untuk berada di tengah-tengah.Lebih banyak melihat,mendengar,berfikir dan mungkin tidak lama lagi akan beraksi.
       Ya,itulah antara-antara yang aku buat tahun sudah.Okay,aku berhenti di sini sahaja kerana aku tahu memang bosan nak baca panjang-panjang ni.Aku harapkan sedikit nasihat sekiranya tulisan aku ini panjang lebar sangat,sedikit komen aku perlukan untuk referen aku nanti di masa hadapan.Okay,Selamat membaca.



(1)
SISTEM PERANGKAP
Awas! perangkap sistem.
sistem sudah lama.
lama di minda bangsa.
di bawah sub sedar.
habis pecah-belah.
maki hamun bertaburan.
fitnah jadi senjata.
oh sistem rakus.
kau zalim.
habis kau mamah daging mereka.
tanpa menoleh sedikit pun
ke belakang.


apis abdul. 
pukol 6 47 pagi
Selamat Pagi rabu. :)
30 November 2011



(2)





BILA PILIHANRAYA


bila dekat pilihanraya

kau pun keluar
mencela
membabi-buta
cakap kuat
cakap lawa
kalah manis madu
menang manis mulut
janji dulu
masih tersangkut
demi dunia
yang kau rebut
kau tembak sini
kau tembak sana
makin ganas
makin liar
makin gila
gila kuasa
kau lupa
kerajaan bumi 
milik Yang Esa.

(3)



HARI INI DISINI REVOLUSI

Wahai kawan
sesungguhnya..

Aku berkata,hari ini,disini
bukan untuk mana-mana pihak
yang menggelarkan diri mereka 
pemerintah..

Aku berkata,hari ini,disini
bukan mahu tunjuk pandai
bukan mahu tunjuk berani
jauh sekali mewakili mana-mana kroni
atau sistem yang kamu gelar parti..

Wahai kawan
sesungguhnya

Aku berkata,hari ini,disini
di tengah-tengah
di antara kamu yang bertelagah
yang menjadi mangsa mu
yang mendapat mewah
dengan mencekik darah
bertuhankan rasuah

Wahai kawan
sesungguhnya

Aku berkata,hari ini,disini
sebagai suara generasi
yang semakin hari
kecewa dan benci
pada perompak hak asasi
cukup-cukuplah korupsi
dan manipulasi kotor organisasi
celaka kau! diktator demokrasi !
gunakan kuasa untuk monopoli
celaka kau! diktator demokrasi !
kami tidak akan berhenti
dari juang dan bakti
hingga mengalir darah suci

celaka kau! diktator demokrasi!
mungkin kau boleh bunuh kami
hari ini,disini
tapi kau tidak akan dapat membunuh..
Revolusi !! 

Apis Abdul
12 Disember 2011
4 : 30 pagi


(4)



SEKADAR LUAHAN HATI
zaman duit,semua tidak mahu ketinggalan,mesti ikut-ikutan.
kereta besar,telefon canggih berteknologi,peti televisyen skrin rata.
almari ikea,berbaju berbau butik,muka selalu facial.
pengetahuan mahu tinggi..zaman internet..yuran sekolah budak-budak pun meningkat.
ilmu digunakan untuk tunjuk pandai bukannya untuk disebarkan kebaikan.
orang makin pandai,makin susah nak ditegur.
walhal mereka kata mereka berfikiran terbuka.
masing-masing nak berjaya.tapi tak sedar dah terpijak kaki lawannya.
atau terpijak insan lain yang hidup susah merana,miskin urban.
dek kerana terkejar-kejar..tidak cukupkah nasi yang di masak seperiuk?
tapi mahu makan lagi berguni-guni beras.
bukan nak tagih kasihan..tapi apa salahnya kita hidup sama-sama merasa..
memang hidup di kota,siapa cepat dia dapat.tapi rejeki Tuhan yang bagi.
apa salahnya banyakkan lagi lobang-lobang rejekinya dengan syarat..
tolong-menolong.
bukan tolong kroni sahaja..buka kan jalan untuk semua yang berminat dan berbakat.
biar sama merasa..jatuh dan naik terpulang lah kepada takdir dan usaha.

(5)

SEKADAR LUAHAN HATI 2 - DUNIA ATAS DAN BAWAH
Bila terkenang saat itu.hati sayu.
Sedih..
kasihankan rakyat,bertungkus-lumus dibawah
bekerja keras untuk terus hidup tanpa mengetahui apa sebenarnya terjadi di atas.
Sedangkan mereka-mereka yang di atas terus menerus senang-lenang
ketawa gembira sambil menghisap curut mahal.
kerapkali mereka terbang ke luar negara bercuti bersama keluarga.Ya,mungkin rezeki mereka.
adakah mereka bahagia?

Tetapi,Tuhan Maha Adil. 
DiujiNya kami di bawah ini dengan susah agar kami menjadi semakin rapat dan kuat
agar kami erat denganNya dan selalu ingat padaNya.
Biarkan..
hari ini,hari mereka.
besok lusa hari kita.
dunia terus berputar seperti jarum jam di dinding.
Ah.jangan berduka kawan,ini cuma 'dunia'.
tempat bermain kita sebelum kita ke alam kekal abadi.
Ya,aku yakin janji Tuhan buat kita.
disana lah bahagia.

Nukilan ini bukan lah mahu merungut menagih simpati nasib diri.
cuma mahu memberi kata-kata semangat
sebagai azimat
agar kita terus bangkit berjuang
untuk kehidupan 
dan jangan lena lagi dibuai mimpi
air liur basi.
Ayuh,kesat ! Bangunlah sahabat!

Dunia serba moden kini masing-masing ada kepentingan sendiri
jangan kita leka mengejar kaya hingga kita lupa dan langsung binasa
hilang kemanusian.
sampai mana Ego mu?
Letak ke tepi sebentar kepentingan itu..
marilah kita bersatu
demi sebuah kehidupan yang adil dan aman
demi Tuhan
bangkitlah dengan ilmu dan suara
sebarkan lah kebaikan..
mungkin bukan untuk kita hari ini
tetapi ianya untuk anak-anak kita nanti
generasi yang akan terus mewarisi bumi ini
setelah kita pergi kemudian hari..
agar mereka mengerti susah-payah perjuangan hidup.
jangan mereka sombong dan takbur.
Oh,mungkin kau silap, aku bukannya suka memuji
tetapi aku tetap bersyukur.


7 Januari 2012
13 Safar 1433
jam 1: 22 pagi Sabtu waktu Malaysia.
Seri Kembangan. 









Tiada ulasan:

Catat Ulasan